Sunday, May 29, 2016

cerita hati

Assalamualaikum,

Sambil mendengar dua lagu favorita bulan ini, Sudah Ku Tahu dan Hidup Dalam Mati, hati rasa nak bercerita pula. Konon mood cinta. Tak payah nak cinta-cinta sangat lah. Aisyy.

Siapa sangka saya di sapa seseorang untuk berkenalan. Kenapa saya kata tak sangka. Sebab saya bukanlah seseorang dalam golongan terpilih, banyak kurang sana sini. Jika ada 100 orang perempuan beratur untuk dipilih, mungkin saya orang yang ke-99 terpilih. Macam tak laku sangat kalau nak tulis dapat tempat ke-100. Saya tak adalah teruk sangat kan. Eh tapi ke-99 pun tak apa, saya sudah cukup berbangga dengan diri sendiri yang hebat ini. Okey, angkat bakul sendiri. Cukup, kembali kepada cerita.

Persoalan ini telah disampaikan oleh orang tengah, bukan dari tuan empunya diri. Sudikah saya? Jujur cakap saya tak tahu apa jawapan yang paling sesuai untuk dibalas. Saya tahu itu hanya  pertanyaan awal perkenalan, tetapi situasi sekarang sudah cukup berbeza. Sudah berumur 26 tahun, tiada lagi istilah cinta monyet main-main, jawapan pun perlu lebih serius. Tetapi, saya diamkan sahaja. Keliru sebenarnya. Keliru sama ada mahu setia menunggu atau menerima dia yang baru muncul. Sesetengah menasihatkan agar setia menanti satu hubungan yang telah diluahkan walaupun mereka juga tidak pasti adakah happy ending akhirnya. Sesetengah pula menasihatkan saya tidak boleh terlalu yakin dengan penantian yang agak kabur bagi mereka dan terima dia yang kelihatan jujur ikhlas itu. Ditambah pula ayah kami saling mengenali, kebetulan. Itu pemudah cara katanya. Last-last saya berdoa agar Allah tunjukkan jalan terbaik. Jika seseorang Adam itu telah tertulis untuk saya, maka dekatkanlah dan jika dia bukan jodoh saya, jauhkanlah bagi mengelakkan dari segala kesulitan.

Nak dijadikan cerita, tidak lama selepas itu tiba-tiba saya dapat tahu berita pertukaran dia ke semenanjung. Sedekat-dekat kami yang hanya berselangkan lima lorong taman perumahan akhirnya jauh terpisah di antara bumi kenyalang dan negeri selatan. Bukanlah saya terlalu pasti doa saya terjawab, tetapi tak mustahil berita ini adalah satu petunjuk. Akhirnya persoalan itu dibiarkan tanpa jawapan. Mungkin itulah yang terbaik. Semoga awak bertemu dengan wanita terbaik di sana ye. Teringat pula kata-kata guru kesayangan, saya seharusnya berterima kasih kepada seseorang sekiranya dia menyatakan perasaan suka, bukan membenci. So, thank you awak. :)

Okey, ada extra dua cerita. Hee.

Cerita kedua, saya tak mahu panjang lebarkan, tetapi sebagai catatan hati, saya tetap nak kongsi. Dia kembali. Saya tak sangka, tetapi tiada apa yang boleh saya lakukan. Ia benar-benar berakhir untuk kami, tiada lagi jalan untuk teruskan. Kekal lah setia kepada dia yang taat kepada awak. Tak nak menjadi punca perbalahan kalian. Bila difikir kembali, kenapa baru sekarang awak nak cari, kenapa bukan dari dulu awak cuba usahakan seperti mana yang awak cuba sekarang. Sudah terlambat, cukuplah kita kekal seperti sekarang. Jangan ada perasaan tak puas hati ye, sesama doakan yang terbaik untuk diri masing-masing. :)

Cerita terakhir, tentang dia. Mereka yang berpengalaman di dalam dunia cinta dan tahu akan cerita ini mula membebelberi nasihat kepada saya. Pada mulanya rasa agak yakin dengan keputusan yang telah saya pilih, tetapi disebabkan beberapa situasi yang berlaku semenjak dua menjak ini, hampir sama dengan kisah beberapa tahun yang lalu, saya mula rasa buntu.  Saya sebenarnya tiada hak pun untuk pertikaikan apa-apa. Cuma masih trauma akan pengalaman itu. Setahun hidup terumbang-ambing. Setiap malam menangis sehingga sakit kepala, ilmu pun tak mampu disimpan sehingga terpaksa meniru di dalam peperiksaan. Mendapat berita sedih tentang diri sendiri, kehilangan seseorang yang dekat di hati, kehilangan rakan-rakan tersayang pada masa yang sama. Sumpah itu sukar bagi saya.

Sekarang, hati seakan-akan terasa perkara yang sama akan berlaku, sesuatu yang menyedihkan. Adakah saya paranoid atau hati ini benar ada deria keenam dapat mengesan sesuatu. Kata mereka, jangan mengharapkan sesuatu yang belum pasti. Walau dalam sesaat, macam-macam boleh berubah. Saya tak nafikan itu benar. Sebolehnya saya nak buang jauh-jauh fikiran negatif, jahat lah saya kiranya bersangka tidak baik kepada mereka yang sangat baik. Haihh. Saya sendiri tidak tahu apa yang sepatutnya saya lakukan. Kononnya sedang bersedia untuk redha dengan segala kemungkinan yang akan berlaku. Tetapi, jauh dari sudut hati, ada juga niat untuk bertahan walau tiada hitam putihnya. Tak salah berusaha. Tambah pula, ada yang excited menyokong. Thank you buat classmate dia, yang juga kini menjadi classmate saya. Entah, benar-benar buntu untuk mengambil jalan terbaik agar hati tidak menangis lagi. Yang saya tahu, saya cuma mahukan kebahagiaan selepas semua yang berlaku. Moga Allah makbul.

Umi kata, jangan susahkan hati dan minda. Kalau dah jodoh, walau sejauh dan sesusah mana, akhirnya tetap bersama. Kalau dah tiada jodoh, walau ditatang sekalipun, tetap tak akan bersatu. Apa kesudahan jodoh saya kelak? Saya serahkan semuanya kepada Dia yang satu. Masih ada beberapa perkara yang perlu saya selesaikan sebelum memikul tanggungjawab yang besar. Wish me luck guys. :)


Hanya kenangan. Gambar pertama dan terakhir yang disampaikan daripada ayah-ayah. Pandai si anak curi-curi snap gambar. =_='